Informan 1

Teknologi Mengalir Buaya 1

Pada pertengahan September 2011 yang lepas, kebetulan kampus sedang dalam suasana cuti antara semester jadi peluang tersebut telah kami gunakan dengan sebaiknya untuk melaksanakan salah satu tugasan kerja lapangan bagi modul PB-2301 (Komuniti dan Teknologi) dengan tajuk yang kami pilih sendiri iaitu 'Teknologi Mengalir Buaya'.

Seperti yang sudah sedia maklum, aktiviti seperti ini sudah jarang, malahan sudah hampir pupus tidak lagi diusahakan oleh masyarakat secara meluas, jika adapun hanya sebagai suka-suka dan bukan bertujuan sebagai sumber mata pencarian tetap. Disebabkan perkara tersebut jugalah kami berasa sukar untuk mencari informan bagi mendapatkan maklumat mengenai teknologi tradisi tersebut. Namun atas daya usaha kami akhirnya menemukan  beberapa orang informan yang berkesudian untuk berkongsi ilmu dan pengalaman mengenai teknologi serta kaedah mengalir buaya. 

Pada 20 September 2011, kami telah menemuramah seorang informan, Awg Hj Nayan Bin Muhammad di kediaman beliau di RPN Lambak Kanan.


Awg Hj Nayan bin Hj Muhammad

Beliau yang pada masa ini berumur 57 tahun, pesara dari Dewan Bahasa dan Pustaka bukanlah seorang pengalir buaya, tetapi beliau mempunyai pengalaman mengenai perkara tersebut kerana beliau pernah menulis sebuah artikel mengenai mengalir buaya yang pernah diterbitkan di dalam Majalah Beriga terbitan 1988, tambahan datuk beliau suatu masa dahulu merupakan seorang pengalir buaya.

Ketika sesi temubual.....

Bergambar bersama informan


PERALATAN MENGALIR BUAYA

Kebiasaannya secara umum kebanyakkan para pengalir atau penangkap buaya yang mahir ini akan menggunakan dua jenis alatan yang kebiasaannya digunakan untuk memerangkap sekaligus menangkap buaya. Alatan tersebut seperti;

1. Mata pancing alir

Mata Pancing Alir

Mata pancing alir tersebut diperbuat daripada besi yang diyakini sangat kukuh dan dipercayai tidak akan mudah patah atau bengkok jika diserang oleh buaya. Garis pusat mata pancing tersebut adalah satu sentimeter dan panjangnya adalah tiga meter. Besi ini dibentuk seperti mana kail biasa tetapi terlebih dahulu diruncingkan pada kedua bahagian hujungnya, kemudian dibengkokkan hujung besi tadi kira-kira satu meter dan bahagian yang sebelah lagi dilengkukkan juga supaya senang mengikat tali-tali rami yang sebanyak tujuh sehingga sembilan helai.

Tali-tali rami itu panjangnya kira-kira empat meter dan jika tali-tali rami itu terus diikatkan kepada rotan, ia akan mudah putus apabila buaya memakan umpan tetapi tali-tali itu tidak akan terkena atau menyalat pada gigi buaya kerana ia lebih halus daripada rotan kemudian baharulah disambungkan pada rotan yang panjangnya kira-kira 9.6 hingga 15 meter.

Kadang-kadang ada juga segelintir pengalir yang menggunakan mata pancing yang digunakan untuk memancing ikan, tetapi ukurannya lebih besar daripada mata kail biasa.
  


2. Alir Batang Nibung

Ada juga sesetengah pengalir yang menggunakan batang pokok nibung yang diruncingkan kedua-dua hujungnya. Di tengah-tengah batang nibung tersebut diikatkan tali-tali rami sepanjang 4 meter sebelum disambungkan pada rotan saga sepanjang 9.6 hingga 15 meter.

Alir daripada Batang Nibung


Ada juga sesetengah pengalir yang menggunakan tampuling dan pukat jenis tahan lama dan kukuh untuk menangkap buaya tetapi kaedah tersebut tidak begitu meluas pemakaiannya.

CARA MEMASANG ALIR


Sebelum alir dipasang, terlebih dahulu ia akan diberi umpan yang terdiri daripada ayam atau monyet yang mesti disembelih kerana mengikut kepercayaan para pengalir, buaya tidak akan makan umpan dari jenis bangkai yang tidak disembelih. Pemasangan alir ini juga mengikut keadaan air pasang surut. Jika memasang ketika air pasang, alir akan digamtungkan pada dahan-dahan kayu setinggi 70cm dari permukaan air dan dikala waktu air surut pula alir akan digantung dari permukaan air, diantara dua hingga tiga depa (kira-kira empat meter) bagi menyesuaikan keadaan apabila air pasang.

Terkadang ada juga sesetengah pengalir yang memasang bendera ditempat umpan alir dipasang kerana mengikut petua yang mereka percayai, bendera tersebut akan berfungsi untuk sentiasa melambai-lambai dan menyuruh buaya segera datang. Selain tu terdapat juga sesetngah pengalir yang menghempaskan daun pengayuh ke atas permukaan air sebanyak tiga kali sambil membaca mantera-mantera tertentu.
Tempat Memasang Alir dengan Bendera Merah Dikibarkan



Pada kebiasaanya seminggu sesudah alir dipasang, baharulah pengalir akan melawat alir tersebut untuk megetahui sama ada umpan alit itu mengena atau sebaliknya. Pengalir akan tahu umpan alirnya telah mengena apabila airnya hilang dari tempatnya memasang. Pengalir akan mencari sepanjang sungai atau di sungai-sungai yang berdekatan. Apabila rotan sepanjang 9.6 hingga 15 meter kepunyaan pengalir tersebut ditemui timbul di permukaan air maka pengalir akan membacakan beberapa mantera dan jampi dengan beberapa tujuan seperti untuk mengarahkan buaya tersebut timbul ke permukaan air menyerah diri dan sebagainya.