PENGENALAN
Apabila disebut mengenai 'mengalir buaya' atau 'teknologi mengalir buaya', diyakini rata-rata masyarakat masa kini ada yang kurang faham, tidak pasti bahkan tidak tahu langsung mengenai pekerjaan tersebut yang pernah diusahakan oleh masyarakat Melayu Brunei suatu ketika dahulu. Mengalir adalah salah satu cara atau kaedah tradisional untuk menangkap buaya. Pengalir buaya adalah sejenis pekerjaan, dimana seseorang yang berkemahiran atau 'ahli' dalam ilmu menangkap buaya bagi tujuan yang tertentu iaitu dengan menggunakan beberapa alat tertentu dengan cara yang tersendiri yang lain daripada yang lain, iaitu dengan dikombinasi dengan unsur-unsur mantera, jampi kepercayaan pantang-larang dan semangat spiritual.
Bermacam-macam definisi boleh diberikan bagi menjelaskan maksud 'alir' atau 'mengalir' tersbut. Perkataan 'mengalir' adalah berasal dari kata dasar 'alir' yang bermaksud; Bergerak berterusan (berkenaan (dengan) air, cecair, arus tenaga elektrik dan lain-lain. Selain itu ia juga boleh diertikan bergerak perlahan-lahan dan sedikit-sedikit. Bagi 'alir' yang dimaksudkan dalam blog ini ialah sejenis alat (pancing dan sebagainya yang berkenaan) yang digunakan untuk menangkap buaya dan mengalir di sini khusus merujuk kepada cara menangkap buaya dengan kaedah-kaedah tertentu.
Ilmu mengalir buaya ini kebanyakannya diwarisi secara turun temurun, iaitu ilmu yang dipelajari dari orang tua atau 'perindungan'. Ilmu ini juga boleh dipelajari dengan cara 'berguru'.