Kepercayaan

Untuk menangkap buaya ini tidaklah semudah yang disangka dan bukanlah hanya dengan 'turun-turun ayam' kerana terdapat beberapa petua dan pantang-larang yang mesti dipatuhi oleh pengalir dan mereka yang turut serta untuk menangkap buaya, demi memastikan pekerjaan mereka berhasil dengan jaya dan berupaya mengelakkan dari bencana atau kemalangan yang tidak diingini dari berlaku.

Antara pantang-larang ketika memasang alir yang mesti dipatuhi itu adalah seperti pengalir tidak boleh ditegur oleh orang lain, tidak boleh makan, minum, merokok, membuang air kecil dan besar, berludah, ketawa dan berteriak semasa mengalir. Ada juga sesetengah pengalir yang berpantang tidak akan menyikat rambutnya dan bagi yang merokok, ia adalah bertujuan untuk menaikkan semangat ketika hendak mengalir dan berhadapan dengan buaya.

Para pengalir juga ditegah dari berlaku tidak senonoh dan bermulut cabul ketika mengalir, terutama apabila buaya sudah berjaya ditangkap dan dibawa naik ke atas perahu kerana ditakuti segala mantera yang telah dikenakan kepada buaya yang ditangkap itu terbatal dan buaya akan tersedar dari 'pugaian' si pengalir.

Namun apa yang penting, sebelum turun hendak mengalir buaya, para pengalir akan cuba mengelakkan unsur-unsur kepunan, kerana dipercayai jika pengalir menolak pelawaan seseorang untuk makan atau minum, maka dengan sendirinya dia sudah mengundang bahaya ke atas dirinya, kerana pantang buaya mudah mengetahui siapa-siapa yang diambang kepunan. Di mata penglihatan buaya, seseorang itu tidak lagi dilihatnya sebagai manusia bahkan seperti monyet atau kera (musuh utama buaya), ini kerana dipercayai seseorang yang kepunan, roh atau semangatnya telah tinggal di tempat mereka dipelawa. Sebagai contoh, jika dia dipelawa untuk makan tapi ditangguh-tangguhkan atau menolak, maka roh atau semangatnya akan tinggal di dapur. Antara unsur-unsur yang boleh menyebabkan kepunan itu ialah seperti menolak atau menangguh-nangguhkan salah satu atau kesemua elemen di bawah:
  • Kopi
  • Tumpi
  • Hidangan ikan pari
  • Hubungan batin suami isteri
Minuman kopi
Hidangan tumpi
Masakan pari











Para pengalir percaya bahawa buaya-buaya tersebut merupakan jelmaan dan tidak boleh sesuka hati untuk ditangkap, hendaklah terlebih dahulu meminta izin kepada jin penjaganya. Jika buaya yang tidak bersalah itu ditangkap, dijerat secara paksa atau dibunuh maka ia akan memburu pengalir tersebut dan membalas dendam selama tujuh keturunan. Terkadang sebelum buaya tersebut berjaya ditangkap, ada sesetengahnya akan menjelmakan dirinya menjadi perempuan cantik (buaya jadi-jadian). Jika pengalir tersebut kurang ilmu dan lemah semangat, maka pengalir itu akan menjadi mangsa buaya tersebut.

Bagi para pengalir, kehadiran buaya dapat dikesan melalui beberapa cara, iaitu apabila terhidu bau tembikai atau bau 'lantuh', itu menandakan ada buaya disekitar atau berhampiran, malahan terkadang bau tersebut dapat dihidu walaupun buaya tersebut berada pada jarak jauh. 

Mengikut kepercayaan pengalir buaya yang pernah memasukkan tangannya ke dalam mulut buaya hingga menjangkau kerongkongya, tangan pengalir itu boleh menjadi ubat kepada anak damit yang dihinggapi penyakit 'kulimangau' (sejenis penyakit tompok-tompok putih pada lidah kanak). Namun begitu, ilmu mengalir ini adalah ilmu yang 'panas' dan boleh membawa kecelakaan dan nasib malang kepada pengamalnya jikalau tidak berhati-hati dan tidak mendatangkan kekayaan kepada pengamalnya. Ilmu ini selain dapat menjinakkan buaya, pengalir akan mudah terperangkap dengan wanita kerana ilmu ini boleh digunakan untuk memikat atau 'memugai' perempuan. tidak hairan jika terdapat sesetengah pengalir yang mempunyai isteri lebih dari satu.